Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa keputusan kerajaan untuk menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel RM 1.00 sehingga menjadikan harga seliter minyak meningkat. Sememangnya pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat. Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia . Kenaikan harga minyak ini akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang-barang keperluan, yang pastinya membebankan terutama sekali di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang tinggal di bandar-bandar merupakan entiti masyarakat yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup tinggi di bandar yang segalanya bergantung kepada kuasa beli bagi mendapatkan sesuatu barang berbanding di kampung setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global namun demikian ABIM beranggapan bahawa tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi jumlah kenaikannya, memandangkan kenaikan ini secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kenaikan ini juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Bahkan ABIM juga berpendapat kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara. Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya.

Menyedari implikasi yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ke atas rakyat dalam pelbagai bentuk, ABIM menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

1. Memohon agar kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan parioriti. ABIM berpandangan pembangunan bukan nilainya pada tumbuhnya bangunan pencakar langit yang hanya bersifat "material" tetapi pembangunan sebenar ialah pembangunan "insani" yang bersifat membangunkan kebajikan rakyat. Insentif yang dikemukakan amat baik tetapi tidak dapat banyak membantu rakyat kerana kesan kenaikan tersebut mempunyai impak besar terhadap keseluruhan ekonomi negara terutama kenaikan caj perkhidmatan dan harga.

2. Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Cara kita mengurus ekonomi juga harus dikaji semua dan hendaklah lebih mengutamakan kebajikan rakyat sepertimana yang telah digariskan dalam Islam berhubung dengan konsep kenegaraan.

3. Seruan mengamalkan budaya belanja berhemah perlu dimulakan diperingkat kepimpinan negara bermula dengan mengurus kos operasi pentadbiran secara berhemah kerana kadang-kala wujud situasi perbelanjaan secara berlebihan seperti pembelian kereta kerajaan dengan kereta import luar negara. Selain itu majlis-majlis dan program-program besar-besaran yang bersifat "ceremonial" semata-mata menelan belanja berjuta-juta ringgit perlu dielakkan. ABIM menyeru agar pemimpin-pemimpin, jabatan-jabatan, serta agensi-agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat dicontohi serta diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak termasuk kerajaan negeri.

4. Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan sebarang pembaziran yang tidak perlu, dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Unsur-unsur rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak wajar diperangi habis-habisan.

5. Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

6. Memantau harga barang-barang keperluan yang masih menerima subsidi daripada kerajaan, agar tidak ada golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran daripada kenaikan harga minyak.

7. Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.

0 Responses