Jadilah Muslim berkualiti

PERUBAHAN peradaban manusia berlaku dengan begitu pantas sekali, Islam yang suatu ketika dahulu begitu gemilang dan cemerlang kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang pada masa ini mendominasi dunia seluruhnya terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah adalah satu umat yang kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej yang negatif atau dalam erti kata lain sebagai pengganas.

Berita mengenai keganasan, pembunuhan dan pencerobohan yang dilakukan oleh kuasa besar Barat ke atas umat Islam bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku sejak lama dulu, sehingga ke hari ini penindasan ke atas umat Islam masih lagi berleluasa.

Keganasan dan penindasan ke atas umat Islam di negara-negara seperti Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan yang paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku begitu berleluasa tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Sehingga kini ini entah berapa banyak nyawa yang telah terkorban, harta yang musnah dan air mata yang tumpah membasahi bumi. Peristiwa seumpama ini sungguh mengguris jiwa umat Islam seluruhnya.

Hari ini, ramai di kalangan pemimpin negara Islam bercakap dengan suara yang lantang menyeru agar umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara Islam daripada sebarang bentuk penjajahan. Namun usaha untuk merealisasikannya bukan sahaja begitu kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah kesatuan yang mesti dilaksanakan itu.

Ideologi

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika sebarang bentuk ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan oleh pemimpin Islam itu sendiri. Sepatutnya setiap ideologi yang bertentangan dengan Islam perlu ditolak secara habis-habisan oleh seluruh umat Islam.

Jelas jika kita lihat pada masa sekarang kesatuan Islam masih di tahap yang begitu lemah dan keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di dalam negara sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam yang lain.

Negara Islam hari ini, secara umumnya mengalami kelemahan dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhannya masih belum pulih. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Kelemahan umat Islam ini juga telah menjadikan kuasa Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Dalam situasi sekarang pemimpin di negara - negara Islam masih lagi gagal mencapai kata sepakat dalam menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.

Melihat kepada ancaman ke atas umat Islam hari ini, wajarkah kita sebagai saudara seagama hanya berpeluk tubuh melihat situasi yang menimpa umat Islam masa kini? Realiti yang berlaku ramai di kalangan umat Islam hanya menjadi pemerhati kepada penindasan yang berlaku terhadap Negara umat Islam lain dan tidak kurang juga yang hanya tahu mengkritik dan menghina kelemahan yang ada pada pejuang Islam yang ikhlas berjuang dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Apa yang nyata, sebenarnya kelemahan umat Islam itu sendiri yang menjadi punca kepada musibah yang berlaku, umat Islam telah dijadikan senjata utama untuk menjatuhkan umat Islam yang lain.

Rata-rata kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai saudara seIslam dalam usaha untuk membantu umat Islam yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (al-Anfaal: 73)

Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Para pemimpin negara Islam seharusnya bersatu dan memandang ke hadapan di samping mengatur strategi yang efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu pemimpin Islam lakukan adalah dengan cara memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan umat Islam agar segala bentuk penjajahan yang telah menzalimi, menindas dan menghina umat dapat dihindarkan.

Memboikot

Selain itu, umat Islam perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak iaitu dengan cara memboikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat Barat yang mengaut keuntungan tersebut untuk menjatuhkan negara Islam. Walaupun usaha ini dilihat sebagai perkara yang remeh, namun jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam.

Umat Islam seluruhnya juga perlu kembali kepada fitrahnya iaitu dengan kembali menghayati dan mengamalkan al-Quran dan hadis dengan sepenuhnya. Dalam dunia yang serba moden hari ini walaupun terdapat umat Islam yang kuat imannya, namun tidak kurang juga yang telah jauh terpesong daripada landasan Islam itu sendiri .

Terdapat juga di kalangan mereka hanya Islam pada nama sahaja sedangkan segala kewajipan sebagai orang Islam tidak pernah ditunaikan malahan cara hidup mereka juga sama dengan penganut bukan Islam.

Perkara ini perlu diambil perhatian dengan sewajarnya agar umat Islam pada hari ini dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman. (al-Munafiqun: 8).

Jika perkara ini gagal ditangani di peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam akan menjadi umat yang mundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara seIslam di negara yang disebutkan sebelum ini.

Oleh itu sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan merupakan khalifah di muka bumi ini, maka jawapannya tepuk dada tanyalah iman dan tanyalah pada diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti.

Apa yang kita miliki hari ini kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini merupakan pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakanlah dengan sebaik-baiknya ke jalan yang diredai kerana tanpa bekalan yang secukupnya kita akan kembali kepada Allah dengan keadaan yang papa dan hina.

Nabi Ibrahim bukan Yahudi

SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.

Ini apabila sejarah Nabi Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).

Dalam kitab Perjanjian Lama (Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti bagi memulakan masyarakat baru di sana.

Ketika dalam perjalanan mereka menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.

'Sejarah' ini dijadikan bukti oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.

Kekejaman selama 22 hari baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.

Sedangkan 'sejarah' itu ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat 67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang beriman.

Begitupun Nabi Ibrahim bin Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah.

Sedari Raja Namrud memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.

Malah diceritakan air Zam Zam itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di kawasan yang terdapat sumber air.

Setelah diperiksa mereka begitu gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya tinggal berdua bersama puteranya itu.

Puak Jurhum menurut buku Sirah Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini, generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di sekitar lembah-lembah Mekah.

Sejak itu, Lembah Mekah berubah wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan 'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.

Alangkah terkejut baginda melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu. Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.

Setelah beberapa kali mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.

Dikorbankan

Kelahiran Nabi Ismail merupakan putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.

Namun Ibrahim perlu membuktikan bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri, harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang taat.

Namun menyembelih anak dengan tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.

Dipendekkan cerita, pedang yang tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.

Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Nabi Ismail kemudiannya membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.

Diceritakan dalam buku ini mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan kesempitan hidup mereka.

Lalu ketika bertemu dengan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.

Pada ketika yang lain, Ibrahim yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.

Ismail tersenyum kerana mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.

Islam memuliakan wanita

WAHAI orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisa': 19)

Huraian

Islam mengharamkan perbuatan mewarisi perempuan seperti mewarisi barang-barang dan binatang-binatang, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan menyusahkan dan menyakitkan perempuan untuk memudaratkan mereka, kecuali jika ia melakukan perbuatan yang keji.

Islam memberi kebebasan kepada perempuan di dalam memilih teman hidupnya dari awal, iaitu sama ada dara atau janda , sama ada yang ditalak atau yang kematian suaminya.

Islam juga menyeru kepada kaum lelaki supaya tidak mudah terburu-buru emosi mengambil keputusan bertindak memutuskan hubungan suami isteri sekiranya terjadi sesuatu perbalahan dan persengketaan suami isteri.

Apabila berlaku keadaan sedemikian, suami hendaklah berusaha mengawal kemarahan dan kebencian yang memuncak. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Allah SWT memerintah setiap suami menjaga kebajikan isteri masing-masing dengan baik, melayan isteri-isteri dengan penuh kemesraan dan kasih sayang, mendidik isteri dengan penuh hikmah, seterusnya memperlakukan mereka sebagaimana selayaknya seorang insan.

Kesimpulan :

Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT.

Golongan suami hendaklah menghormati isteri-isteri mereka dan melayan mereka dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.

Sesungguhnya peranan seorang isteri amat penting dalam sesebuah rumah tangga , oleh itu muliakanlah dan hormatilah kaum hawa seperti sepatutnya.